nuffnang

27 February 2016

ANDA LAYAK MENJADI IBU BAPA YANG PRO-AKTIF DAN BERJAYA!

ANDA LAYAK MENJADI IBU BAPA YANG PRO-AKTIF DAN BERJAYA!
Ada dua jenis ibu bapa...
Satu yang jenis PRO-AKTIF dan yang satu lagi yang jenis REAKTIF.
Yang pro-aktif ini adalah mereka yang berfikir ke hadapan. Mereka menyediakan diri sebelum perkara itu berlaku. Mereka bukan sekadar risau. Mereka ini menyusun langkah.
Contoh, mereka akan mempelajari tahap perkembangan kanak-kanak. Lalu mereka bersedia untuk melalui tahap-tahap itu.
Contohnya, jika mereka belum mempunyai anak, mereka telah membaca dan menyediakan diri bagaimana jika mereka mengandung, melahirkan, dan apakah perkara yang perlu dilakukan semasa pantang serta sebanyak ilmu mengenai keperluan anak itu dari sudut, fizikal, mental, emosi dan jiwa untuk anak 0-2 tahun.
Bila mereka baru mendapat anak, mereka sudah mempelajari bagaimana keadaannya bila anak mereka mencapai usia 2-4 tahun. Tahap perkembangan diri anak itu serta apakah persediaan yang perlu mereka lakukan.
Mereka ini jugalah yang akan memikirkan apakah kelas-kelas motivasi dan sepertinya untuk anak itu sertai supaya dia akan terus dapat mengembangkan bakatnya.
------------
Ibu bapa yang reaktif ini, adalah ibu bapa yang tidak melakukan persediaan. Mereka sekadar mengambil tindakan cemas bila sesuatu perkara itu sedang mereka hadapi dan bila ia telah menjadi teruk. Inilah yang menyebabkan mereka sering marah-marah, panas baran, menjerit-jerit serta hilang kawalan.
Mereka hilang kawalan akan keadaan dan hanya reaktif kepada keadaan. Contohnya, oleh kerana mereka tidak membaca dan menyediakan diri dengan ilmu keibubapaan terutamanya mengenai perkembangan kanak-kanak, mereka 'terjerat' bila anak-anak mereka melalui tahap 'keindividuan - individualistik' pada usia 1-3 tahun. Tahap dimana kelakuan anak menjadi sangat mencabar, dengan suka memberontak, menjerit-jerit, membaling barang, menyepak dan sebagainya.
Kerana mereka tidak faham, mereka mudah melenting dengan anak mereka itu, memukul, menjadi tidak keruan, dan kemudiannya berasa diri mereka ibu atau bapa yang tidak baik. Kerana jauh di dalam hati mereka, dan naluri seorang bapa dan ibu tahu bahawa anak sekecil itu belum lagi faham akan apa yang dia lakukan. Lalu semua ini memakan diri mereka lagi dan beginilah hidup mereka saban hari. Dan mereka mula berasa penat membesarkan anak dan terlepas pandang akan 'joy' di dalam membesarkan anak ini.
Apa yang mereka tidak tahu, selepas tahap 'keindividuan' ini anak melalui pula tahap membina identiti diri. Maka bayangkan keran tidak ada persediaan ilmu, mereka telah banyak memarahi anak itu dengan kata-kata dan panggilan yang tidak baik, contoh...jahat,degil, menyusahkan dan semua yang sewaktu dengannya, maka itulah identiti diri yang anak mereka ambil untuk dirinya.
Lantaran, anak itu menjadi lebih bermasalah. Lalu anak itu membuat hal yang terus menyusahkan ibu dan bapa. Oleh itu banyak tenaga dan masa ibu bapa habis untuk menyelesaikan masalah. Contoh, masalah anak bergaduh. Masalah anak tidak mahu ke sekolah, anak mengamuk, anak menggunakan perkataan kesat, anak yang berkawan dengan kawan-kawan yang tidak baik.
Bila identiti diri terbentuk, maka anak itu berkelakuanlah seperti identitinya. Maka terbentuklah magnet identiti itu di dalam dirinya, dan magnet itu menarik kepadanya semua yang identiti diri itu katakan. Bila anak-anak suka berkawan dengan kawan-kawan yang tidak baik,maka fahamilah itulah yang dia juga rasa mengenai dirinya.
Dan bila anak-anak sudah bermasalah di dalam pelajaran, baru tergesa-gesa mencari pakar dan kursus yang boleh diharap akan menukar sikap anak mereka ini. Dan berharap pakar itu boleh melakukan magiknya. Sedangkan, kepercayaan diri yang negatif telah bersarang di dalam diri anak itu!
Kesimpulannya, jadilah ibu bapa yang pertama itu, iaitu yang pro-aktif. Ya anda tetap akan melalui masalah dan cabaran didalam membesarkan anak. Namun, anda menjadi lebih berdaya mengambil tindakan yang tepat dalam mendepani masalah dan cabaran itu.
Jika anda baru tersedar bahawa anda adalah golongan yang kedua. Pertama Ibu ucapkan syabas! Kerana anda jujur dan mengenepikan ego. Kedua, susun langkah untuk menjadi ibu bapa yang pro-aktif.
Tidak ada siapa yang boleh mengubah nasib kita kecuali diri kita. Allah pun telah berjanji bahawa Dia tidak akan mengubah nasib kita sehingga kita mengubahnya.
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)
Doa Ibu, semoga Tuhan membantu kita semua.
Salam Kasih, Ibu Rose

3D Art Museum Malacca @ Bayou Lagoon

No comments: